Petikan daripada Bernama,myMetro dan Sinar Harian Jabatan_Neurosains

17 Mac, 2010 19:14 PM

HUSM Jadi Pusat Rujukan Perubatan Kesan Penyakit Otak

KOTA BAHARU, 17 Mac (Bernama) -- Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, sekali lagi melakar sejarah apabila ia menggunakan teknologi moden untuk mengesan penyakit berkaitan saraf otak.

Naib Cancelor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Prof Dzulkifli Abd Razak, berkata alat pengesanan penyakit yang dinamakan Magnateoecephalography (MEG) berharga RM11.8 juta itu ditempatkan di Makmal Klinik MEG/ERP Neuo Sains hospital itu, dekat sini.

Menurutnya, alat itu merupakan yang pertama digunakan di negara ini dan mula beroperasi di makmal tersebut sejak Julai lalu dan setakat ini pihaknya telah merawat 100 pesakit berkaitan saraf otak.

"Dengan penggunaan alat ini, HUSM akan muncul sebagai pusat rujukan perubatan pertama menggunakan MEG itu di Asia Tenggara dalam pengesanan penyakit berkaitan saraf otak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Klinikal MEG & ERP Neurosains, di hospital itu, dekat sini Rabu.

Hadir sama, Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed dan Ketua Jabatan Nuerosains HUSM, Prof Dr Jafri Malin Datuk Abdullah.

Dr Dzulkifli berkata mengikut kajian dengan menggunakan alat itu ia mampu mengesan 80 peratus kes-kes berkaitan otak lebih awal dan tepat sebelum mengubati sesuatu penyakit berkaitan saraf otak.

"Magneteoencephalography ini merupakan salah satu modaliti pengimejan otak dan saraf yang tidak menyakitkan dan selamat kerana ia tidak melibatkan sebarang unsur radiasi dan pembedahan dengan keupayaan menghasilkan imej beresolusi tinggi," katanya.

Beliau berkata, teknologi terkini dan canggih ini mampu mendiagnosakan masalah angin ahmar, trauma otak, masalah sakit jiwa dan kemurungan serta membantu dalam bidang kognitif yang melibatkan terapi rehabiliti dan rawatan psikologi.

Menurutnya, peralatan itu diluluskan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun ini dan memberi perkhidmatan kepada pesakit dari seluruh negara dan Asia Tenggara.

Katanya sebuah lagi alat seumpama itu yang diimport dari Sweden akan ditempatkan di kampus induk di bawah peruntukan Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10) pada tahun depan.

Sementara itu, Prof Dr Jafri Malin berkata tujuh doktor pakar mengendalikan Makmal Klinikal MEG dan ERP itu termasuk melibatkan pakar sawan, bedah otak, ahli farmasi dan neurofisiologis.

"Kesemua mereka yang terlibat merupakan pakar yang berpengalaman dalam mengendalikan apa jua kes yang perlu dikendalikan mereka," katanya.


Bedah lebih tepatOleh Ismail Muhamadam@hmetro.com.my2010/03/18

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menjadi hospital pertama di Asia Tenggara yang berjaya membangunkan makmal dikenali sebagai Magnetoencephalography (MEG) iaitu mesin yang mempunyai keupayaan untuk menentukan pemetaan otak supaya dapat membuat rawatan pembedahan dengan lebih teliti tanpa memudaratkan pesakit.Mesin yang berharga RM11.5 juta yang dibeli di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu mula dibangunkan di HUSM sejak Julai tahun lalu sekali gus menjadikan hospital itu sebagai pusat rujukan dalam bidang sains otak.


Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata pihaknya bangga dengan kejayaan HUSM yang membangunkan makmal dikenali sebagai MEG kerana ia mampu menaikkan imej hospital itu dalam kemajuan bidang sains otak.


“Saya dimaklumkan ini adalah mesin yang pertama di Asia Tenggara dan ia menjadikan HUSM sebagai salah daripada pusat perintis untuk menjalankan pengajian, penyelidikan dan latihan dalam bidang seumpama ini.


“Kami mengharapkan ini akan menjadikan hospital ini sebagai satu pusat rujukan dalam sains otak dan kita jangkakan dalam masa 10 tahun lagi bidang sains otak akan menjadi bidang terulung setanding dengan bidang bio teknologi,” katanya selepas merasmikan Makmal Klinikal MEG HUSM di Auditorium Perubatan Neklear HUSM, Kubang Kerian, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Prof Datuk Mafauzy Mohamed dan Ketua Jabatan Neurosains HUSM, Prof Dr Jafri Malin Abdullah.

HUSM jadi pusat kajian otak Asia Tenggara,Sinar Harian 17hb Mac 2010.

KOTA BHARU - Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menyediakan makmal klinikal pertama yang menawarkan perkhidmatan menggunakan peralatan Magnetoencephalography (MEG) di Asia Tenggara.

Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, setakat ini MEG hanya digunakan di Jepun, Korea, China dan Asia Utara, namun ia tidak terdapat di Asia Selatan dan mahukan ia digunakan sebaik-baiknya di negara ini.

“Mesin MEG ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri dengan memberi jaminan 80 peratus mampu mengesan kes-kes berkaitan otak lebih awal dan tepat sebelum mengubati sesuatu penyakit berkaitan saraf otak.

“Alat ini yang pertama digunakan di negara ini dan mula beroperasi di makmal di sini sejak Julai lalu, malahan berjaya merawat 100 pesakit berkaitan saraf otak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Makmal Klinikal MEG dan ERP Neurosains HUSM serta Minggu Penghayatan Otak di sini, kelmarin.

Menurutnya, dengan penggunaan alat MEG juga, HUSM akan muncul sebagai pusat rujukan perubatan pertama menggunakan MEG di Asia Tenggara dalam pengesanan penyakit berkaitan saraf otak.

Hadir sama, Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed dan Ketua Jabatan Nuerosains HUSM, Prof Dr Jafri Malin Datuk Abdullah.

Dzulkifli berkata, teknologi terkini dan canggih itu juga mampu mendiagnosakan masalah angin ahmar, trauma otak, masalah sakit jiwa dan kemurungan serta membantu dalam bidang kognitif yang melibatkan terapi rehabiliti dan rawatan psikologi.

Sementara itu, Jafri Malin berkata, Makmal Klinikal MEG dan ERP dikendalikan tujuh doktor pakar sawan, bedah otak, ahli farmasi dan neurofisiologis.